The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

REVIU PERLAWANAN: Gergasi Merah Dipaksa Berkongsi Mata Di Stadium UiTM (CIMB Liga Super 2020)

Sep 12, 2020 - FAS

Hajat pasukan Selangor untuk meneruskan rentak kemenangan tidak tercapai selepas diikat dengan keputusan seri 1-1 dengan Melaka di Stadium UITM Shah Alam, malam tadi.

Kedua-kedua pasukan bermula garang pada awal babak permainan dengan kerap berbalas-balas serangan.

Penjaga gol Selangor, Khairulazhan Mohd Khalid cemerlang menepis percubaan sepakan percuma dari pemain import Melaka, Sony Norde pada minit ke-8 permainan.

Selangor yang juga kerap mengasak kubu lawan berjaya melepaskan beberapa percubaan menerusi pemain tengah Brendan Gan dan
Sandro  Da Silva namun percubaan mereka berjaya diselematkan oleh penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-39 selepas rembatan leret dari luar kotak penalti oleh Uche Agba gagal diselamatkan oleh Khairulazhan.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Merah Kuning terus melancarkan serangan balas dan berjaya menyamakan kedudukan selang seminit menerusi Sandro Da Silva yang bijak melakukan gerakan penyudah selepas menerima lorongan cantik daripada Ifedayo Olusegun. 

Sebanyak empat pertukaran pemain dilakukan oleh kedua-dua pasukan pada aksi separuh masa kedua dengan Selangor mengeluarkan Halim Saari, K. Prabakaran, Syazwan Zainon dan Sandro Da Silva yang digantikan dengan Ashmawi Yakin, K. Sarkunan, Wan Zack Haikal dan Rufino Segovia bagi memantapkan lagi barisan serangan pasukan Selangor.

Rufino Segovia berpeluang untuk menjadi hero pasukan Selangor namun dua percubaan beliau pada penghujung permainan gagal menemui sasaran.

Pemain utama Selangor, Brendan Gan juga bakal digantung satu perlawanan setelah menerima kad kuning keduanya menjelang minit-minit akhir perlawanan.

Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

Bercakap kepada pihak media sejurus selepas tamat perlawanan, ketua jurulatih Selangor, B.Satiananthan mengakui anak-anak buahnya perlu bekerja dengan lebih keras untuk baki 4 perlawanan seterusnya.

“Kita masih mempunyai 4 baki perlawanan, peluang masih terbuka dan apa-apa boleh berlaku. Kita kena terus bekerja dan bekerja,” komen Satiananthan.

Keputusan seri ini menyaksikan Selangor kekal di tangga ke-6 CIMB Liga Super 2020 dengan mengutip 10 mata dari 7 perlawanan dan dipisahkan 1 mata sahaja di belakang Perak di tangga kedua liga dengan 11 mata.

Skuad Gergasi Merah akan menentang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri untuk perlawanan seterusnya pada 19 September 2020.